Tuesday 19 August 2014

Khabar dari Makkah

Bismillah dan segala pujian hanya bagi Allah.

15 hari telah kami lalui, menapak di bumi Hijjaz, tanah kelahiran Nabi yang dikasihi. Tiada kata yang dapat diucapkan selain syukur, syukur dan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi. Kerana memaqbulkan doa kami, agar terpilih menjadi ahlul Makkah, dengan redha dan rahmatNya.

Sungguh impian yang terbina seawal sebelum bernikah ini lagi, hanya termaqbul setelah hampir enam tahun menjadi suri. MashaAllah Tabarokallah. Setiap hari penuh dengan senyuman, gaya orang kampung yang baru pertama kali menjejaki kotaraya besar, itulah saya pada hari ini. Walaupun setiap hari melalui jalan-jalan yang kiri kanan penuh construction di sana sini. Mengharungi hon-hon kereta Pak Arab seperti di Jordan. Tetapi sesungguh nya jauh di sudut hati tidak dapat saya gambarkan ketenangan yang hadir. Ia persis sakinah yang hadir saat sejurus bergelar suri kepada suami yang dikasihi. Mungkin kesan daripada segala kesusahan dan kesedihan yang telah terlebih dahulu bermukim di hati. Yang sukar didapati itu akhirnya yang dikenang-kenang ke saat ini.

Hari ini adalah impian masa lalu kami. Sungguh kami tidak berdaya melainkan segalanya dengan kuasa Allah semata. Nasykurullah. Sedikit masa sahaja lagi dengan izin Allah bakal memulakan kehidupan sepenuhnya bersama suami dan anak-anak di tanah suci ini. Di tempat yang dinukilkan di dalam al-Quran {ummal qura wa man haulaha} bumi yang merakam sirah kembara dakwah Rasulullah dan para sahabat. Justeru tempat yang padanya setiap insan berimpikan untuk menjejakkan kaki walau sekali seumur hidup sebelum mati.

Inilah dia negara paksi bumi,
tempat tumpuan dunia menyaksikan penyatuan ummah dalam menjalankan ibadah kepada Ilahi Robbi.

Menjadi suatu assignment buat kami suami isteri memberikan pelajaran baru terhadap kedua-dua putera dan puteri. Jauh dari keluarga. Hidup seadanya. Makan apa yang ada. Dan pentingnya, dengan cuaca yang pastinya lebih panas dari Malaysia, suatu pengalaman baru buat kami semua walaupun telah hampir tiga tahun saya dan Ulya bermukim di negara empat musim, Jordan.

'Ala kulli hal Alhamdulillah untuk nikmat hari ini. Nikmat yang bukan semua orang perolehi. Ia cukup bermakna buat diri yang penuh dengan noda ini.

Teman, lakarkan impian mu di atas kertas dan berdoalah sesungguhnya. Kerana impian akan kekal impian tanpa sebarang usaha dan berlakunya penambahbaikan. Samada dalam diri sendiri untuk diri sendiri mahupun terhadap insan lain di sekeliling. Persetankan mereka yang berniat jahat untuk menjatuhkan mu. Pedulikan mereka yang sentiasa menyimpan hasad meluruhkan semangat kental mu. Jadilah diri sendiri yang dikau yakini, dan bertawakkal lah kepada Ilahi. Kerana kejayaanmu pada hari ini, sesungguhnya menenggelamkan dengki lawanmu pada waktu dahulu.

Maka berakhirlah persoalan-persoalan seperti; bila nak fly Mekah, diirigi senyum-senyum sindir. Nak harapkan kamu entah bila pergi, entah dapat tidak. Jadi ke nak pergi Mekah. Dsb nya. Nasykurullah. Kenikmatan dunia sudah di rasa. Apakan lagi kenikmatan di syurga. Bersabarlah wahai manusia. Sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang bersabar. Kadang diam itu selain bernilai ibadah, ia adalah senjata dan strategi dalam membina benteng diri agar tidak memberi ruang diri diaibkan oleh diri sendiri kepada orang lain pada suatu-suatu masa nanti.

Kejarkan dunia, dunia akan pergi. Kejarkan akhirat, dunia pasti mengiringi. Hati dan lidah, itu yang paling penting untuk di pelihara sebaiknya.

Sand-storm
Along the way from al-Muzailif to al-Laith, Saudi Arabia.



Salam kasih, dari bumi Bakkah. 15 hari yang berlalu sungguh indah. Alhamdulillah.

umm3umar
al-'Aziziyah, Makkah al-Mukarramah
19 Ogos 2014 | 2340 hrs