Sunday 29 May 2016

Asmaa' is one year old!

Bismillah. Assalamualaikum.

1. Alhamdulillah hari ini anakanda kami yang ketiga, yang dipilihkan namanya oleh mbah (ayah kepada ummi) genap berusia setahun mengikut kalendar Masihi.

2. Untuk rekod, tiada sambutan party, kek mahupun apa-apa yang istimewa buatmu anakanda. Cuma ingatan doa yang tidak akan pernah luput dari ummi dan abi.

3. Hari ini, berakhir kertas peperiksaan terakhir ummi untuk semester ini, (Asalib Bahas) Fasl Tsani 8 Feb - 29 Mei 2016. Semoga mendapat natijah yang cemerlang dan lulus semua matapelajaran. Baki lima (5) matapelajaran untuk semester depan / Fasl Soifi --- kemudian grad. InshaAllah, bi iznillah!

4. Untuk itu, sepanjang setahun ini suka untuk ummi rekodkan perkembangan kamu anakandaku :

# berkelakuan baik, paling manja berbanding abang Umar dan kakak Ulya. Manja dengan abi. Bila nampak abi berjubah bersiap nak ke masjid, dah pandai menangis nak ikut :)

# Belum pandai berjalan lagi. Gigi atas 3 batang, bawah 2 batang. Pakej 3 batang gigi atas tumbuh sekaligus selepas beberapa hari pandai merangkak. Pandai merangkak sekitar 10 bulan. Lambat! Mungkin faktor baju yang berat waktu musim sejuk / winter. Tanggal sahaja baju sejuk, terus pandai menjulur dan 2, 3 hari selepas itu terus pandai merangkak. Meniti dan memanjat -- InshaAllah akan berjalan sikit masa lagi ;)

# Sudah faham 'am' menunjukkan kepada makna 'makan'. Di mana ada orang yang sedang makan, pasti anakanda akan laju merangkak untuk mendapatkan makanan tersebut.

# Pandai menyebut manja 'mey' atau 'miiii...' atau 'ummmeeyy....' dan kadangkala 'beeyy...' merujuk kepada ummi dan abi. Kepandaian ini sebelum anakanda belum berumur setahun lagi. Lebih awal berbanding abang Umar (berumur 2 tahun ketika pandai menyebut ummi) dan kakak Ulya (setahun)

# Paling kuat menangis. Sejak baby lagi. Itu antara sebab abi tangguhkan study di Mekah untuk teman kita dan tolong ummi jaga kamu. Alhamdulillah setahun dan tahun akhir yang bermakna buat ummi dan kita. Terima kasih kepada Allah yang menggerakkan hati abi. Terima kasih Asmaa' yang menjadi asbab ;)

# Paling suka main dengan abang Umar sebab abang pandai melayan dan tak kasar. Kakak sedikit kasar dan ke'arab'an sedikit ketika bermain dengan adik. Walaubagaimanapun ummi perhatikan kedua-dua abang dan kakak mempunyai sifat ke-kakak-kan dan ke-abang-an, boleh di harap untuk jaga adik.

# Paling suka makan bila kakak yang suapkan. Hatta kalau berkongsi makanan pun, adik akan suap kakak dan orang lain boleh ternganga sahaja melihat gelagat comel beliau :)

Happy first birthday our bundle of joy;
Little Princess Asmaa' Muhammad Nur Amir


5. Ummi dan abi sentiasa mendoakan kebaikan buat semua anak-anak ummi abi. Semoga cemerlang di dunia dan akhirat. Dijauhkan dari fitnah akhir zaman dan dipelihara Allah dari melakukan dan terjerumus dari apa jua bentuk maksiat. Ameen Ya Rabbal Alamin.


Nota kasih ummi buatmu.

Anakanda ummi abi yang dirahmati Allah,
ASMAA' BINT MUHAMMAD NUR AMIR.

Kelahiranmu adalah kelahiran yang kami nantikan. Usai mengerjakan haji (badal kali pertama) ummi disahkan mengandungkan Asmaa'. Dan ketika Asmaa' berusia 4-5 bulan, telah kami bawa Asmaa' bersama-sama menunaikan haji (badal kali kedua). Asmaa' sabar dan tidak banyak karenah lebih-lebih lagi dengan terik panas Arafah 50'c ketika itu. Segala urusan mudah dan sangat mudah dari awal sehingga selesai tawaf dan melontar. Alhamdulillah.

Ummi abi doakan semoga perjalanan kehidupanmu sentiasa peroleh keberkatan dan keredhaan dari Allah.



Salam kasih sayang dari Ummi.
29 Mei 2016 | Irbid Jordan
1907 hrs

*Takziah dan Al-Fatihah buat ayahanda sahabat baik ummi : Farah Aisyah Ahmad di atas pemergian ayahanda tercinta maghrib waktu Malaysia tadi. Semoga kandungan baik-baik sahaja dan semoga dia terus tabah dan cekal menghadapi berita ini di hari terakhir peperiksaan dan semester terakhir di bumi Yarmouk.

Tuesday 24 May 2016

Simpan cerita hari ini, untuk kenangan di masa hadapan.

Alhamdulillah selepas panas-sejuk, panas-sejuk di musim bunga ini Allah turunkan hujan. Selesai menghantar anakanda berdua ke sekolah pagi tadi, abi kembali ke rumah. Si kecil masih lena tika ummi mengulangkaji untuk peperiksaan pada hari ini. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dengan izin Allah. Hujan masih bersisa ketika ummi dalam perjalanan pulang ke rumah. Rintik-rintik hujan halus jatuh ke bumi menurut perintah Ilahi.

"Umar bercakap Bahasa Arab dengan baik sekali.." sapa Ummu Humam di muka pintu tika melihat kelibat saya untuk mengambil anak-anak pulang.

"Betul, bahasanya mumtaz!" disambut oleh seorang lelaki, yang menjadi mumtahin Umar bagi peperiksaan lisan 'Ulum (Sains) pada minggu lepas.

"Alhamdulillah.."

*****

"Ummi, kat sekolah kan Ummu Humam kan, dia panggil Asmaa' dudeh, ya dudeh.. Shu dudeh? (soal Ulya)"

"Hai dudat, dudat..." sambil jari telunjuknya membuat aksi seperti ulat yang sedang merenyut-renyut comel. (comel?)

Saya tergelak besar melihat telatahnya.

Berbeza sekali anak yang berdua ini. Seorang menerima dengan meniru aksi dan gaya. Pandai mengajuk dengan bunyi, nada dan aksi yang serupa hampir 100%. Seorang lagi beramal dengan kefahaman dan yakin diri yang begitu tinggi.

Tahun ke enam menjadi ummi, banyak yang saya pelajari. "Apa-apa pun doa mak juga yang paling kuat.." kata suami menunjukkan petikan bahasa arab yang dijumpainya di dalam FB.

Menjadi orang tua harus kreatif, otak geliga dan penuh idea di kepala. Ia pasti tidak mudah. Saya melakukan pembacaan yang agak banyak tentang teori keibu bapaan. Tentang second child syndrom. Tentang anak yang spontan aktif apabila di rangsang, dan sebagainya. Saya percaya walaupun dengan sinis mata-mata yang memandang, saya percaya anak-anak ini suci dari dosa.

Kata suami lagi, "Anak-anak kecil ni bila dia buat perangai, bukan sebab dia degil. Tapi sebab kita yang tak sabar.."



Umar dan Ulya, pulang dari sekolah.

Umar dan Ulya ada fe'el yang tersendiri. Setiap mereka istimewa dan ada kelebihan masing-masing. Umar pernah berkorban tinggal jauh dari ummi. Ulya juga pernah berkorban melalui dan bersama-sama ummi mengalirkan air mata melalui detik sukar dan mencabar di bumi asing ini.Umar sangat rajin belajar. Ulya pula tekun apabila sekali-sekali belajar. Terbit di hati kecil saya, apakah anak-anak ini apabila suatu masa nanti jika berbuat silap, maka aku harus memenangkan mereka yang kononnya kerana aku ini adalah ibu mereka dan paling mengenali mereka? Semoga Allah pelihara.

*****
Alam kehidupan ini jauh. Penuh onak dan duri. Terisi dengan manusia baik dan manusia jahat di dalamnya. Namun kehidupan di akhirat nanti jauh lebih panjang. Beristiqamahlah beramal dengan ikhlas walau tidak disanjung dan di luar pengetahuan manusia. Kerana Allah tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa untuk mengira.


Anak-anak,
hiasilah dan urusilah kehidupanmu dengan ilmu, iman dan taqwa. Semoga tidak menyesal di sana nanti.



Ummi yang menyayangi.

Bayt 'Ulya, Irbid Jordan
24 Mei 2016 | 1715 hrs