Tuesday 24 May 2016

Simpan cerita hari ini, untuk kenangan di masa hadapan.

Alhamdulillah selepas panas-sejuk, panas-sejuk di musim bunga ini Allah turunkan hujan. Selesai menghantar anakanda berdua ke sekolah pagi tadi, abi kembali ke rumah. Si kecil masih lena tika ummi mengulangkaji untuk peperiksaan pada hari ini. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dengan izin Allah. Hujan masih bersisa ketika ummi dalam perjalanan pulang ke rumah. Rintik-rintik hujan halus jatuh ke bumi menurut perintah Ilahi.

"Umar bercakap Bahasa Arab dengan baik sekali.." sapa Ummu Humam di muka pintu tika melihat kelibat saya untuk mengambil anak-anak pulang.

"Betul, bahasanya mumtaz!" disambut oleh seorang lelaki, yang menjadi mumtahin Umar bagi peperiksaan lisan 'Ulum (Sains) pada minggu lepas.

"Alhamdulillah.."

*****

"Ummi, kat sekolah kan Ummu Humam kan, dia panggil Asmaa' dudeh, ya dudeh.. Shu dudeh? (soal Ulya)"

"Hai dudat, dudat..." sambil jari telunjuknya membuat aksi seperti ulat yang sedang merenyut-renyut comel. (comel?)

Saya tergelak besar melihat telatahnya.

Berbeza sekali anak yang berdua ini. Seorang menerima dengan meniru aksi dan gaya. Pandai mengajuk dengan bunyi, nada dan aksi yang serupa hampir 100%. Seorang lagi beramal dengan kefahaman dan yakin diri yang begitu tinggi.

Tahun ke enam menjadi ummi, banyak yang saya pelajari. "Apa-apa pun doa mak juga yang paling kuat.." kata suami menunjukkan petikan bahasa arab yang dijumpainya di dalam FB.

Menjadi orang tua harus kreatif, otak geliga dan penuh idea di kepala. Ia pasti tidak mudah. Saya melakukan pembacaan yang agak banyak tentang teori keibu bapaan. Tentang second child syndrom. Tentang anak yang spontan aktif apabila di rangsang, dan sebagainya. Saya percaya walaupun dengan sinis mata-mata yang memandang, saya percaya anak-anak ini suci dari dosa.

Kata suami lagi, "Anak-anak kecil ni bila dia buat perangai, bukan sebab dia degil. Tapi sebab kita yang tak sabar.."



Umar dan Ulya, pulang dari sekolah.

Umar dan Ulya ada fe'el yang tersendiri. Setiap mereka istimewa dan ada kelebihan masing-masing. Umar pernah berkorban tinggal jauh dari ummi. Ulya juga pernah berkorban melalui dan bersama-sama ummi mengalirkan air mata melalui detik sukar dan mencabar di bumi asing ini.Umar sangat rajin belajar. Ulya pula tekun apabila sekali-sekali belajar. Terbit di hati kecil saya, apakah anak-anak ini apabila suatu masa nanti jika berbuat silap, maka aku harus memenangkan mereka yang kononnya kerana aku ini adalah ibu mereka dan paling mengenali mereka? Semoga Allah pelihara.

*****
Alam kehidupan ini jauh. Penuh onak dan duri. Terisi dengan manusia baik dan manusia jahat di dalamnya. Namun kehidupan di akhirat nanti jauh lebih panjang. Beristiqamahlah beramal dengan ikhlas walau tidak disanjung dan di luar pengetahuan manusia. Kerana Allah tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa untuk mengira.


Anak-anak,
hiasilah dan urusilah kehidupanmu dengan ilmu, iman dan taqwa. Semoga tidak menyesal di sana nanti.



Ummi yang menyayangi.

Bayt 'Ulya, Irbid Jordan
24 Mei 2016 | 1715 hrs

No comments:

Post a Comment