Bismillah Walhamdulillah.
Hari ini merupakan Sabtu kedua kami di bumi Irbid. Mengimbas semula perjalanan kami dari bumi hijaz Makkah, Saudi Arabia ke bumi syam Irbid, Jordan -- begitu penuh dengan ujian dan pengalaman. MashaAllah. Kembara hidup, kembara ilmu, perlu diteruskan walau dengan seribu satu dugaan dan cabaran sekalipun.
Semuanya bermula semenjak selepas selesai menunaikan ibadah haji lagi. Hari Isnin kami selesai dengan nafar awwal. Selasa sama-sama collapse, keletihan yang bersangatan. Rabu bersiap-siap untuk pulang. Malam kami ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan Tawaf Wida' dan hanya pulang ke rumah kira-kira jam 2 pagi. Kemudian bersiap kemas untuk pulang ke Jordan pada pagi Khamis. Barang yang hampir 50-60 kg di angkat ber trip-trip oleh suami menggunakan kereta Suzuki Swift yang di beri pinjam oleh keluarga expatriates yang bekerja di Makkah.
Khamis pagi, 9 Oktober 2014
Barang-barang, dan segala macam beg telah sedia diletakkan di Stesen Bas Saptco yang terletak berdekatan Masjidil Haram. Stesen yang sama untuk mengambil bas pergi ke Masjid Tan'im untuk bermiqat. Kebiasaannya kata suami akan ada bas Saptco dari stesen tersebut yang bergerak ke Jeddah, dan tambang adalah percuma memandangkan kami telah membeli tiket Saptco Antarabangsa. Sayangnya, di hari-hari musim haji, tiada bas yang keluar bandar --- kemungkinan semua bas digunakan untuk mengangkut jemaah-jemaah haji pergi ke destinasi atau hotel masing-masing. Atau ke Mina. Saya sendiri tidak pasti akan hal ini. Yang pastinya, TIADA bas Saptco percuma dari Makkah ke Jeddah.
Bertabahlah suami tersayangku mencarikan kenderaan untuk membawa kami ke Jeddah. Dimaklumi pada musim-musim haji seperti ini tambang bukan calang-calang. Namun Alhamdulillah, suami berjaya menemukan Pakcik yang baik hati, menawarkan tambang yang paling murah di kalangan yang lain-lain. Abu Rayyan, beristerikan Perempuan Melayu dari Kedah, menawarkan SAR400 untuk perjalanan dari Masjidil Haram ke Jeddah, berbanding selainnya SAR500-600.
Duit yang pertama tidak dijangka telah keluar.
Kami diam.
Rupanya ujian tidak berhenti setakat itu. Sesampainya kami di Stesen Bas Saptco Jeddah, suami segera membawa barang-barang dan beg-beg kami ke bahagian dalam, tempat menunggu. Kira-kira satu jam, konduktor mula memanggil, penumpang yang memegang tiket ke Amman-Jordan untuk keluar ke bahagian tempat parking bas.
Ooh, rupanya kami tidak direzekikan untuk menaiki bas Saptco, sebaliknya bakal menumpang bas JETT. Walhamdulillah, tiada masalah asalkan sampai ke destinasi dengan selamat. Tiba-tiba, dengan sesuatu perkara yang tidak diduga, konduktor tiket tidak membenarkan kami menaiki bas tersebut. Gara-gara kami terdiri dari empat (4) orang tetapi hanya memilik tiga (3) tiket. Situasi mula tegang apabila suami sedaya upaya memberitahu, bahawa di kaunter tiket Makkah, tempat kami membeli tiket menyatakan bahawa tiada masalah untuk hanya mempunyai tiga tiket. Memandangkan 'Ulya baru sahaja berusia tidak sampai tiga tahun. Abang sudah mula buntu. Saya terdiam, istighfar di dalam hati. Anak-anak seperti faham melihat kami berdua mendung. 'Ulya yang mula mencebik sedih, sikit demi sedikit akhirnya menangis teresak-esak. Saya lihat abinya tertunduk mahu mengalir air mata.
Duit...
Akhirnya kami bayarkan juga tiket untuk anakanda kecil kami, 'Ulya bernilai SR275 untuk perjalanan pergi dan balik (return ticket). Selesailah adegan tarik menarik. Saya lihat abang benar-benar keletihan. Dia termenung, mendung di wajahnya hanya Tuhan yang tahu apa difikirannya. Terbang lagi duit dengan perkara yang tidak dijangka.
Alhamdulillah sepanjang perjalanan, Umar dan Ulya tidak meragam banyak. Segalanya dimudahkan oleh Allah dengan segala urusan-urusan kendiri, makan minum, dan pengurusan Umar yang sudah tidak menggunakan pampers. Saya tidak ingat berapa kali kami singgah berhenti. Untuk makan, dan solat. Yang pastinya, setelah tiba di border Saudi, baru lah kami sama-sama bangun dari lena yang panjang dan benar-benar meletihkan.
Tiba di border Jordan. Sekali lagi sesuatu yang tidak terjangkakan oleh suami berlaku. Visa kemasukan ke Jordan yang disangkakan bernilai JD20 seperti selalunya telah naik menjadi JD40. Menjumlahkan JD80 untuk suami dan Umar yang tidak mempunya iqomah seperti saya dan Ulya. Suami sudah tidak terkatakan apa-apa lagi. Bayar dan berlalu seperti tiada apa-apa yang berlaku. Saya tahu, fikiran dan badannya sudah begitu keletihan.
Kami tiba di Stesen Bas Saptco/Jett, 'Abdali Amman Jordan lebih kurang 9-10 pagi. Terus pulang ke rumah kami yang telah amat kami rindui, Baytul 'Ulya -- Irbid -- Jordan. Rumah yang penuh kasih sayang abang, tanpa lelah mencarikan duit untuk di bayar sewa pada setiap bulan tanpa pernah kurang dan lambat. Rumah yang, sentiasa penuh dengan segala keperluan tikamana dia datang ke Jordan. Beras, gula, minyak masak tidak pernah saya beli kerana awal-awal lagi telah disediakan dan di beli runcit-runcit oleh abang. Menapak dia mengangkut segala keperluan asas tersebut. Kedekut untuk menaiki teksi? Tidak. Kami bukan orang kaya yang punya scholarship beribu sebulan dan boleh sesuka hati membuang duit tanpa melihat berapa not yang ada di dalam kocek. Selagi kaki kuat melangkah, menapak lah dengan riang, dan syukuri apa yang ada di sekeliling mu.
Segalanya perlukan duit.. Tiada apa yang percuma di dunia ini. Malah dagangan dunia juga dibeli untuk mendapatkan akhirat yang sempurna. Dagangan dunia? Jihad, menegakkan Kalimatullahi hiyal 'ulya adalah untuk mendapatkan pengakhiran yang terbaik di akhirat nanti...
Sekian catatan. Semoga ada kebaikan di kemudian hari nanti. Hidup ini, tidak pernah lekang dengan segala ujian. Dan Alhamdulillah dengan kekuatan dari Allah jua lah yang membuatkan kami terus kuat melangkah walau dengan suara-suara sinis sekalipun.
InshaAllah jika tiada apa aral yang melintang, berhajat untuk menceritakan pengalaman kembara haji pada kali ini suatu masa nanti. Doakan :')
Salam hormat, penuh kasih sayang.
umm3umar
Baytul 'Ulya | Irbid Jordan
18 Oct 2014 | 1745 hrs
No comments:
Post a Comment