Tuesday 19 April 2016

"...لعلك تراه"

Semalam, selepas menjalani peperiksaan Fiqh Qadha', saya bergegas ke King Abdullah University Hospital (KAUH) selepas dihubungi suami, Umar perlu di refer ke sana. Cuaca yang agak terik diredah jua. Teksi meluncur laju membawa kami dari Bab Raisi University Yarmouk Ke Bhg Emergency di KAUH. Selepas menjalani beberapa prosedur, Umar diperiksa oleh Doktor kanak-kanak yang bertugas.

Tengahari itu, abang kelihatan letih. Beg laptop berisi buku-buku nya yang berat itu digalas ke sana ke mari. Perancangan asalnya akan ke kelas Fiqh Ibadat Dr. Ibrahim Jawarneh, dan kemudian kelas Dilalat Prof. Dr. Abdul Jalil di sebelah petang. Siapa sangka sepetang itu dihabiskan di hospital.

Sedang pemeriksaan dilakukan ke atas Umar, tiba-tiba kepala saya terasa berpusing. Dua orang Doktor yang memeriksa terus bertanya perihal Umar, untuk mengambil history. Saya segera berpaut di tiang katil. "Hello!" "Hello!" saya dengar Doktor memanggil. Abang tiba dan saya mengadu sakit kepala.

Saya berjalan ke bahagian luar dan duduk di kerusi menunggu yang disediakan. Kebas serta merta. Air tin yang dipegang di tangan kanan jatuh. "Bibir awak pucat..." Kedengaran suara abang sayup-sayup. "Biddi 'arobai. 'Arobai.." pinta abang kepada petugas hospital. Kata abang, petugas lelaki yang mahu memapah saya. Lama sebelum itu beliau juga mengeluh pening, seperti hendak pitam. Tetapi digagahkan juga untuk menyelesaikan urusan anakanda Umar.


Black-out.

Tika ini hanya otak yang berfungsi. Saya masih sedar, masih conscious. Masih boleh mendengar orang di sekeliling yang kelam kabut.

Tetapi tidak berdaya membalas.

"Nak mati ke aku ni?"
Selawat. Aku kena selawat banyak-banyak. Ingat Allah.
Naluri berbisik.

Sedetik seperti terasa bakal hilang kesedaran secara nyata dan menyeluruh. Out-of-consciousness.

"Allahumma solli 'ala Muhammad... Allahumma solli 'ala Muhammad... Allahumma solli 'ala Muhammad... Allah... Allah... Allah..."

Ya Allah kalau sampai masa aku, beri aku peluang untuk aku tatap wajah Rasulullah sebelum Kau ambil nyawa aku.

Pinta hati lagi.


"...لعلك تراه"

Jelas terngiang-ngiang kata-kata itu. Kata-kata Doktor yang dinukilkan oleh abang kepada saya. Berharap seandainya dapat bertemu dan melihat wajah Rasulullah...

"Hello. How are you? Feeling better?" Tanya Doktor. Saya membuka mata. Tersedar dari pitam. Mengangguk perlahan.

"Awak kenapa? Risau abang. Abang nak pergi tengok Umar sekejap ye?"

"Ingatkan saya dah nak mati dah..." Jawab saya. Dalam hati. Pertama kali mengalami rasanya seperti ini. Pulang ke rumah, kami bercerita. Abang terbaring lesu. Panas suhu badannya. "Macamana agaknya ya abang, sakitnya mati tu? (Arwah) Mizah dah rasa.. Saya ingat saya dah nak mati sungguh. Saya tak fikir orang lain dah, tak fikir anak-anak. Saya fikir diri sendiri sahaja waktu tu..."

Abang diam.


"...انت ستموت عليك ما أنت عليه"


Teringat lagi, kata-kata Doktor di dalam kelas. Kamu akan dimatikan, dengan apa/cara apa yang kamu 'berhidup'...


Mujurlah, di saat genting dan getir, Allah hantarkan hati-hati yang ikhlas berbakti. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih. Kalian sentiasa di dalam doa. Ujian di tahun akhir, dan pastinya ada hikmah disebaliknya. InshaAllah.


"لا إله إلا الله اين انت الأن ابني الحبيب؟"


Saya tahu dengan membacanya menguatkan semangat dia. Begitu pun juga semangat saya. Alhamdulillah, nikmat di dalam kesakitan. Sungguh, syarat mati adalah hidup. Dan berhiduplah kita dengan amalan kebaikan, untuk bekal di sana nanti.



Catatan selepas 10 hari tarikh kelahiran.
19 April 2016 | 1616 hrs
Bayt 'Ulya, Irbid Jordan.

No comments:

Post a Comment