Wednesday, 18 June 2014

Mei yg lalu, meraikan kebahagiaan dan kejayaan.

Bismillah Walhamdulillah.

Ternyata menaip tanpa pc atau laptop adalah sesuatu yang begitu janggal dan tidak mudah, walau tanpa kehadiran si anugerah berdua yg sedang membesar aktif, Umar dan Ulya.

Hari ini setelah beberapa purnama baru merasakan tiada berlaku sebarang rekod pada Mei yang lalu. Kali terakhir merekodkan perkembangan dan catatan adalah pada April, bulan kelahiranku.

Dan pafanya kali ini, jua di bulan kelahiranku, Syaaban. Bulan mendekati Ramadhan dan Syawal. Subhanallah. Lihatlah betapa pantasnya masa berlalu.

Mei yang lalu menyaksikan diriku bertungkus-lumus mencuba sehabis daya melakukan yg paling terbaik di dalam peperiksaan akhir untuk semester lepas, melupakan tarikh-tarikh penting, tarikh bakal pulang terbang ke Malaysia. Alhamdulillah daku bersyukur dengan anugerah keputusan yg MashaAllah. Ia benar seperti yg diingatkan oleh suami tercinta, keputusan yg di luar jangka fikiran. Pokoknya, usaha lebih, doa lebih, sedekah lebih, dan paling penting, husnuzhon dan tawakkal yg lebih kepada Pencipta.

Alhamdulillah. Tsumma Alhamdulillah.

Sepertinya boleh dikatakan Mei adalah bulan kemenangan buatku dalam konteks kehidupan bergelar mahasiswi disamping tugas utama selaku seorang isteri yg berjauhan dengan suami dan anak sulong. Serta berdua-an bersama si kecil Ulya yg adakala di musim-musim peperiksaan ragamnya serti tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan; sungguh dikurniakan suami yg jujur dan penyayang. Prihatin lagi penyabar. Penguat semangat dan yg selalu percaya dengan positif pada apa yg ada pada lebih kurangnya isteri nya ini. Terima kasih duhai suami. Serta anak-anak yg sentiasa terus tabah dan sabar mempunyai ummi yg berjiwa besar, berhati besi untuk terus utuh mendalami ilmu mengenal Tuhan walau sudah separuh ke usia senja. Juga mak ayah dan mak ayah mertua yg selalu redha dan menitipkan doa serta semangat pada tiada selang waktu.

Justeru pada teman-teman, adik-adik yg selalu tidak pernah lokek meminjamkan telinga untuk mendengar bebel-bebel si ummi dan si kakak ini. Meminjam waktu dan tenaga menemani saban waktu. Sudi prihatin pada memberi penjagaan dan pengawasan kepada si solehah Ulya. Subhanallah. Kalian semua adalah anugerah terindah kurniaan Ilahi.

Tiadalah yg dapat ku balasi pengorbanan setiap dari kalian melainkan dengan mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat kalian dan kehidupan kalian seluruhnya. Semoga kekal dalam iman dan Islam pada setiap ketika hingga hujung nyawa.

Dan syukurnya pada 27 Mei 2014, setelah sembilan purnama akhirnya diizin Dia untuk memeluk cium anakanda tercinta 'Umar 'Abdul 'Aziz dengan linangan air mata rindu dan penuh gembira. Syukran Ya Robb.

Juga mak dan ayah yg hadir dengan senyuman, ku peluk rangkul tubuh yg semakin kurus di mamah usia itu. Mak ayah, akan kujanjikan kejayaan ini buat kalian nanti akhirnya. Bi iznillah.

Salam ukhuwwah. Semoga bertemu pada Ramadhan beberapa hari sahaja lagi :)


Ingatan pada dinihari.
0306 hrs
19 June 2014
Room Sweet Room, Baiti Jannati | Meru, Klang
Selangor. MALAYSIA.

Send from MyLittleHumaira_SamsT3


Wednesday, 9 April 2014

Selamat Datang 28's!

Sebahagian catatan di hari kelahiranku. Selangkah mendekat ke alam kematian.

Bismillah.
Alhamdulillah. Wa Syukru Lillah.

Hari ini, pada tanggal 9 April 2014 sekali lagi berulang hari yang penuh sejarah. Tepat pada hari kelahiranku pada hari Rabu, 9 April 1986 pada jam 12.45 tengahari. Simbolik pada umur yang semakin banyak dan usia yang makin meningkat, adalah sebenarnya peringatan terpenting semakin kurang nya umur, semakin dekat nya saya dengan kematian. Justeru kematian itu adalah penyudah kepada kehidupan bagi setiap makhluk yang hidup dan bernyawa.

Alhamdulillah, pagi ini saya masih bangun, masih bernafas, dan masih sihat serta punya akal yang waras. Masih punya suami yang penuh sabar melayani rungutan demi rungutan sang isteri, masih punya anak yang sabar menanti kepulangan ummi, punya anak yang setia menemani dan melayani hari-hari stress sang ummi, serta punya mak dan ayah yang sentiasa merindui. Allahu robbi terima kasih di atas segala kekayaan ini!

Mungkin pada sesetengah daripada kita beranggapan kan bahawa tiada apa-apa signifikan nya pada tarikh hari kelahiran. Tiada apa yang perlu dibangga, tiada apa yang perlu dirasa. Terpulang lah di atas pengamatan masing-masing untuk mewarnai kehidupan. Kadangkala hidup yang penuh dengan ketegasan dan 'kesyadidan' serupa kelam tanpa gelak tawa. Namun, hidup yang terlebih pula dengan bahagia dan cerita suka-suka seolah retorik tanpa duka. Kerana sunnah nya, ada hidup lawannya mati. Ada suka lawannya duka. Ada lelaki kawanan nya perempuan.

Terserah semua kepada tafsiran masing-masing.

28 tahun yang lalu,

pada tarikh ini dan pada hari inilah emak yang dicintai dan dirahmati Allah bertarung nyawa melahirkan saya, satu-satunya zuriat dia dan suami nya. Emak memilih melahirkan saya di rumah (arwah opah) kerana kata beliau, harapan untuk kedua-duanya hidup adalah 50-50. Samada emak yang pergi, atau anak yang pergi. Justeru dia memilih, biarlah kalau pergi, sama-sama di rumah. Dan antara yang terpenting -- emak menceritakan, "Orang dulu-dulu malu nak bersalin di hospital, takut kena dengan doktor lelaki, malu kena belek"

Jadi sebenarnya isu ini sejak dari zaman dahulu lagi. Malukan doktor lelaki. Meskipun mereka orang kampung, belajar nya tidak sampai ke University, hukum itu hukum ini jauh sekali dalam pengetahuan seperti kebanyakan kita hari ini, tetapi ada sesuatu bahagian di dalam Islam yang tersemat di hati. MALU. Saya kadangkala hairan kenapa ada dikalangan yang belum pun bergelar doktor, apatah lagi pakar, mencanang dan 'terasa' dengan 'keterasaan' yang bersangatan. Sedang mereka yang pakar, menjawab dengan caranya seorang ayahanda dan seorang ibunda memujuk anakanda. Kami orang kebanyakan, kami tidak mendalami ilmu perubatan, malah kami juga bukan golongan bangsawan -- yang punya harta tidak habis 7 keturunan di buat makan dan berjalan-jalan sakan. Hanya kami menyatakan apa yang kami rasa, jika tidak di dalam keadaan keterpaksaan kami mahukan kaum kami yang duduk di depan kami di saat kami bertarung dengan maut, demi sebuah kelahiran.

Kadang mahu juga saya katakan kepada (bakal) doktor-doktor muda yang sungguh lancang mulut laju jari-jemari nya menulis di papan kekunci, serahkan isteri-isteri kamu yang bakal melahirkan anak-anak kamu kepada kawan-kawan lelaki mu yang juga doktor. Tidak perlu orang lain. Kawan-kawan mu, yang juga sejawatan dan bakal sejawatan dengan mu, yang memang kamu kenali, untuk menyambut kelahiran anakmu. Dan kamu duduk tepi telinga isterimu untuk beri semangat kepada beliau.

Tentu ia bukan pilihan yang bijak, bukan. Tentu kamu akan menjawab, lebih baik aku yang menyambut, kerana aku berkelayakan. Ketepikan soal etika kedoktoran. Jangan kamu hantarkan isterimu ke hospital swasta yang sememangnya boleh dipilih doktor perempuan. Tetapi letakkan dia di bawah hospital kerajaan, sama-sama dengan orang kebanyakan. Dan tanyakan kepada isterimu itu, jika dia tidak kisah kelahirannya di sambut oleh doktor lelaki. Pasti naluri wanita yg sihat akan mengatakan TIDAK. Kecuali dia sendiri sama tidak kisah nya seperti kamu.

Kita tidak perlu mendabik dada dalam berpendirian. Bersederhanalah dalam tindakan.
Rupanya, setiap perkara ada 'darah muda' nya. Tidak terkecuali kamu pandai atau tidak. Kamu tua atau muda.

Tidak, saya tidak pernah ingin banned doktor-doktor lelaki. Kalian ada hak untuk belajar. Tetapi adakala kami merasakan kalian bongkak dengan jawapan-jawapan yang kalian berikan. Malas sahaja mahu bertegang leher, kerana kalian kan orang nya bijak pandai -- justeru itu terpilih mendalami bidang kedoktoran. Cuma sedikit ingatan, Islam ini didatangkan juga dengan pakej akhlak. Di mana peringkat-peringkat turunnya al-Quran juga menyentuh bab akhlak. Dan seperti yang semua sedia maklum juga, Rasul itu diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Again, akhlak.

Jadi, jagalah akhlak.

Berbalik kepada perihal hari kelahiran. Dua tahun saya berseorangan tanpa teman. Pasti 10 tahun yang lalu saya tidak pernah menjangkakan akan duduk berdikari jauh di bumi asing ini bersendirian. Masa berpersatuan, berkejaran dihambat masa membahagikan tugasan pelajaran dan kemasyarakatan, semua nya telah saya lalui sebelum-sebelum ini. Tinggal hari ini, tugasan sebagai pelajar ini masih belum terhenti, dan ditambah pula dengan tugasan sebagai seorang ummi tanpa sang abi di sisi.

Ia meletihkan. Ia menyakitkan. Ia menyedihkan.
Barangkali untuk hari ini dan beberapa semester lagi.

Dengan kuasa berfikir secara positif, saya yakin suatu hari nanti segala yang pada hari ini negatif sekali pada pandangan saya dan kebanyakan orang akan bertukar kepada sesuatu yang jauh lebih baik seperti,

ia memaniskan, ia mendewasakan, ia mematangkan, ia menggembirakan, ia mencerdikkan....
Bi iznillah.

Selamat hari melahirkan, buat bonda yang dicintai kerana Allah. Terima kasih dengan segala jerih payahmu membesarkan anak yang nakal ini. Segala tenaga mu dikerahkan demi mencukupkan segala keperluan anak yang tidak segan silu melawan kata-kata mu di awal usia keremajaan. Seluruh kemahiranmu digunakan dan dimanfaatkan sebaiknya demi anak dan suamimu. Masakan mu, masakan yang sering kurindu. Jahitan mu, jahitan yang sering ku cemburu. Dan ke-kreatifan mu, membuatkan ku merasakan, dikau ini ternyata banyak lebihnya berbanding daku. Walau tahap belajarmu tidak setinggi diriku.

Mak, selalu tetap lebih dari seorang anak. Lebih segalanya.

Dan terima kasih ayah, kerana hingga ke hari ini tegar mengotakan janji. Janji "akan berada di belakangku tika susah dan senangku..." Ayah yang selalu waras dan futuristik dalam setiap pesanan. Ayah yang dengan senang melepaskan ku kepada suami, yang kemudiannya berlinang air mata selepas aku diakadkan. Ayah yang, tidak pernah jemu, tidak pernah jemu dan tidak pernah jemu melayan kan karenah ku sejak kecil sehingga ber-anak dua ini.

Seorang ayah, yang sentiasa meletakkan sepenuh keyakinan nya terhadap ku.

Dan terpenting buat suami tercintaku.
Terima kasih seadanya menerima isteri mu yang kasar ini. Yang comot ini. Yang tua ini. Yang tidak cerdik ini. Yang tidak ada padanya ciri-ciri perempuan yang tergambar di novel dengan pipi pauh, leher jinjang, muka putih, jemari yang mulus, bersimpuh sopan dengan suara yang merdu sesuai dengan kecantikan. Terima kasih, menerimaku dan keluargaku sebaiknya.

Hanya yang dapat kujanjikan antara sekalian janji-janji yang lain adalah bahawasanya, anak-anak kita tidak akan mendengar walau satu apa pun keburukan tentangmu dari bibirku.

Juga buat anak-anak yang ummi kasihi kerana Allah,
'Umar 'Abdul 'Aziz, si handsome yang tabah, anak yang pintar dan bijak. Terima kasih selalu merindui dan mengasihi ummi dengan caramu yang tersendiri. Dan 'Ulya yang cantik serta cerdik. Terima kasih menemani hari-hari ummi dan bersabar dengan adakalanya kemarahan dan stress ummi menyebabkan kamu seolah dilayan seperti kebanyakan anak tiri. Demi Allah. Ummi (dan abi) menyintai kalian dengan sebenar-benar kecintaan seorang ummi dan abi kepada anak-anak nya. Semoga Allah mentarbiyah kalian dengan sebaik-baik tarbiyah.

Dan sepanjang perjalanan kehidupan kembara mencari redha Tuhan ini, saya mula sedar, saya masih belum sempat menggenggam segulung ijazah untuk dipersembahkan kepada mak dan ayah. Mendapat pendidikan formal seawal tahun 1993 sehingga 2003, kemudian dua (2) tahun keremajaan saya dihabiskan dengan menimba pengalaman berada di Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya, A short semester di UIAM Gombak sebelum akhirnya memilih untuk withdraw dari kursus sedia ada untuk mula berhidup di Darul Quran Kuala Kubu Bharu. Langit yang tidak selalu cerah, kadangkala ribut taufan, petir sabung menyabung, akhirnya dengan segala kekuatan dan izin dari Tuhan muncul juga pelangi yang cukup indah -- dikurniakan olehNya rijal soleh yang tidak pernah muncul dalam akal fikiran. Bernikah ketika di semester terakhir tahun terakhir adalah suatu keajaiban. Tiga (3) tahun pula menabur bakti, belajar dari kehidupan di alam pekerjaan. SMK Taman Klang Utama, menjadi saksi murid-murid pertama yang menerima seorang guru tanpa pengalaman mengajar, hanya berbekalkan sedikit sekali apa ilmu yang ada di dada. Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi Klang, tempat saya mula iadah al-Quran secara konsisten. Dan baki dua (2) tahun seterusnya 'menyusup masuk' ke bawah sistem GSTT di bawah Kem. Pendidikan Malaysia. Pentadbiran yang diluar jangka saya sepanjang proses belajar. SJK (C) Chung Hwa Kota Kemuning, SK Bukit Kemuning, SK St. Anne's Pel. Klang, dan SK Seksyen 20 Shah Alam, benar-benar menjadikan saya seorang hamba. Hamba yang mengenal potensi diri, bahawa saya harus belajar lagi, walau dengan daya yang bagaimana sekali pun.


Sesungguhnya 27 tahun yang lalu adalah tahun-tahun yang penuh dengan pengalaman.
Pahit dan manis.

 Happy people are beautiful. They become like a mirror and they reflect that happiness...



Selamat hari lahir yang ke 28,
buat diriku yang sentiasa di dalam pemerhatian Allah.
Hajah Rokhaizat binti Haji Rahmat al-Hafizah.
9 April 1986 - 9 April 2014

Baytul 'Ulya | Irbid Jordan
1353 hrs.

Sunday, 23 March 2014

Motivasi Subuh March

Bismillah.

Alhamdulillah dengan nikmat dan anugerah dari Nya saya dan kita-kita masih dapat bernafas sehingga ke detik ini. Apa khabar iman? Semoga terus cemerlang dari sehari ke sehari.

Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah, saya telah selesai menduduki 5/6 subject untuk peperiksaan pertama bagi Fasal Kedua 2014. Berbaki mata pelajaran Bahasa Arab Istidroki ujian secara berkomputer pada Sabtu 29/3 jika di izin Tuhan. I have already got marks for the two subject and Alhamdulillah, Alhamdulillah segala puji hanya bagi Nya di atas nikmat dan rezeki markah yang baik.

Rindu untuk menulis. Adakalanya ilham itu datang mencurah-curah, tetapi tidak berkesempatan untuk berkongsi. Semoga Allah mengaturkan hidup saya dan kalian sebaiknya dan memberi keberkatan masa buat kita. Tiada lah yang lebih nikmat melainkan punya masa yang berkat, di mana dapat kita manfaatkan ianya sebaik dan se optimum yang mungkin untuk kerja-kerja Islam.

Didik anak, asuh anak, tugas hakiki seorang pelajar iaitu belajar, juga salah satu kerja-kerja Islam bukan? Kerana ia meliputi sudut pembinaan sakhsiah diri seseorang. Semoga kita sentiasa dikurniakan ilham dan akal untuk membezakan yang hak dan bathil. Bersahabatlah dengan mereka yang soleh dan solehah. Elakkan banyak bercerita tentang orang lain. Banyakkan melihat aib sendiri, dan ingat mati. Sesungguhnya ia motivasi terindah bagi mereka yang cintakan kebaikan. Dan bencikan kemungkaran.

Berusaha merubah diri pulang ke pangkal jalan, lebih bermakna dari diam leka tanpa sebarang usaha. Serahkan segalanya pada Yang Maha Esa, dan minta lah kekuatan dari Nya. InshaAllah, kita setapak melangkah ke arah mu'min dan mu'minah yang berjaya :)


Sehingga berjumpa lagi. Salam kasih sayang dari kami. Semoga Allah merahmati dan meredhai perjalanan hidup kita semua.


umm3umar
Baytul 'Ulya | Irbid | Jordan
24 March 2014
0359 hrs.

(Sedang berkumandang azan Subuh yang pertama)

Wednesday, 26 February 2014

Cabaran cinta antara benua


Anak jatuh.

Tidur malam tiba-tiba muntah habis kena ke baju ummi.

Jam pukul 1 pagi.

2 pagi - 3 pagi - 4 pagi tak lena lagi.

Sudah nya ummi tak tidur.

Siapkan bekal 'Ulya.

Hantar 'Ulya ke rumah kawan.

Berkejar ke kuliyah. Di tingkat empat.

***
 
Kuliyah yang penuh.

Balik beli kitab, hampir sejam spend masa di Tasjilat an-Nur. Rindu berlama-lamaan di kedai buku!

Beli barang dapur. Sayur, buah-buahan untuk anak kecil ku 'Ulya.

Balik rumah, solat. Keluar semula untuk ambil 'Ulya di hadhonah. Jalan kaki.

Balik rumah masak untuk keperluan diri sendiri dan anak.

Buang sampah yang tiga-empat plastik sekaligus.

Basuh baju - sidai baju - lipat baju.

Washing-machine pulak rosak.

Peti ais dah tak sejuk, nak kena topup gas. Dah beberapa hari tak beli barang basah sebab tak ada tempat nak letak.

Water dispenser dah habis nak kena beli 20L. Dari Aswaq Zam-Zam takkan lah nak jalan kaki ke rumah bawa air 20L, memang tak mampu.

Decoder TV dah rosak, nak kena ganti baru. Rumah sunyi tanpa alunan Quran setiap masa macam selalu.

Terkini gas dapur untuk masak pun dah habis.

Esok kelas penuh 9 pagi - 3 petang, 5 kelas berderet. Sejam untuk bernafas dengan baik.

Karpet rumah asyik tertangguh-tangguh untuk di vakum.

Pampers 'Ulya dah habis, belum berbeli lagi.

Siapa kata layan anak tak penat? Siapa kata belajar tak penat?

2 minggu lagi nak start exam. Dan akan berderet-deret exam sehingga Mei.
 

(And the routine goes on and on and on)
(Kalau ada abang mesti boleh bahagi tugasan)
 
Inilah Cabaran Cinta Antara Benua.

Nota tambahan :

Bukan setiap masa boleh nak chating, whatsapp, skype, tango dsb. Kita di Jordan pukul 6 petang, dia dah 7 malam. Yang si sulong kat Malaysia tu lagi lah, dah 12 malam.

Kita tak habis kelas lagi, dia dah habis kelas. Dia dah dapat rehat, kita belum dapat rehat. Dia nak skype, kita balik rumah dengan jalan kaki 2 km agaknya mendukung si kecil ni lagi, kita dah letih.

Kita nak chatting malam, dia kadang sibuk urus jemaah umrah, dia ada usrah. Dia balik malam dia pula dah letih, nak tidur untuk prepare kelas keesokan harinya.


Ya Allah letih nya!
T___T

Teringin nak merasa cabaran hidup berjauhan? Silakan. Kalau beri pilihan, saya akan katakan jangan. Ia meletihkan. Diri sendiri, pasangan, dan orang di sekeliling. Itu belum cerita lagi jika pasangan anda tiba-tiba dituduh dayus!

* Not in a good mood

* Still curious macamana orang bujang pun boleh skip kelas dan lewat ke kelas tanpa alasan yang munasabah. Syukur zaman DQ dan UIAM dulu Facebook tak wujud lagi :D


CINTA ANTARA BENUA.

Atip. Malam ni tiba-tiba rindu Atip. Allah sayang Atip lebih. Allah sayang keluarga Atip, suami dan anak-anak Atip. Seletih-letih akak, sesusah-susah akak bersabar dengan emosi, pastilah suami dan anak-anak Atip merasakan yang lebih lagi. Pemergian Atip betul-betul buat jiwa akak tersentak. Akak nak jadi baik dan tak ada musuh macam Atip. Akak nak, anak-anak dengar yang baik-baik sahaja tentang ummi mereka. Terima kasih Atip. Senyumanmu kekal selamanya di ingatan. Al-Fatihah.

 Allahyarhamha 'Awatif Mohd Haduri al-Hafizah (28 Sept 1987-20 Januari 2014)
Maktab Mahmud-Darul Quran JAKIM-University Al-Azhar Mesir


Hari Majlis Khatam al-Quran, DQ JAKIM
Batch HAFS 05/08

Kredit gambar kepada Hanifah Hanapiyah
Perjalanan Terakhir Seorang Hamalatul Quran


Cinta Antara Benua.
Benua Kehidupan dan Benua Kematian.

Setiap orang ujian nya berbeza.
Bersabarlah wahai hati.
Janji Allah itu pasti.
Cukuplah kematian itu sebagai peringatan.


Baytul 'Ulya Irbid Jordan
26 Feb 2014
2319hrs

Saturday, 22 February 2014

Dan kenangan bersama TGNA itu, pada awal pernikahan kami. Alhamdulillah!

Bismillah Walhamdulillah.

Semua gambar-gambar ini di ambil tiga hari selepas hari pernikahan kami. (Kami bernikah pada hari Rabu, 29 Oktober 2008) Kebetulan pada hari Jumaat tersebut TGNA ada berprogram di sekitar Jalan Kebun, dan transit sebentar untuk berehat di rumah datuk saudara (adik bongsu nenek di sebelah ayah saya) maka rezeki kami untuk berjumpa dan bertemu dua mata bersama Tuan Guru dan memohon doa dari nya.


 Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Bekas Menteri Besar Kelantan, Malaysia
31 Oktober 2008

 Datuk saudara (Tuan Hj. Maskor bin Haji Idris) sedang memberitahu kepada TGNA,
"TG, ini cucu saya. Baru tiga hari bernikah. Hajatnya nak sambung belajar ke Mekah. Minta tolong TG doakan..."

 TGNA tidak menjawab, justeru mengangguk dan terus mendoakan. Suami berada sangat hampir dengan TGNA untuk mendengar butir doa dari Ulama' ini. MashaAllah Tabarokallah!

 Sejurus selepas mendoakan, TGNA bersembang sebentar dengan suami. Tidak pasti apa yang ditanyakan mahupun dibualkan sehingga suami tersenyum sebegitu. Mungkin tentang pertanyaan hajat menyambung belajar ke Mekah :)

The very good motivator, inspiring me, and the very loving and caring father.

(Ayah terlalu banyak berkorban. Tidak pernah membantah keinginanku; (1) Withdraw dari Kursus Ijazah Sarjana Muda di UIAM untuk ke Diploma Tahfiz di Darul Quran JAKIM. (2) Keputusan ku untuk memohon belajar di Univ Umm al-Qura, Makkah (3) Permohonan ku untuk bernikah - memberiku pada suami tanpa syarat - tanpa meletakkan harga belanja - semua kerana suamiku seorang Huffaz! MashaAllah Tabarokallah. Terima kasih ayah. Semoga Allah pelihara ayah dan redha dengan segala kebaikan-kebaikan ayah (dan mak) )

I Love You Ayah!

 Alhamdulillah, setelah empat (4) tahun menanti, dengan izin Allah jua, surat tawaran dari University Umm al-Qura, Makkah sampai di Meru pada 13 September 2012. Genap setahun dari tarikh kami mula menjejakkan kaki untuk menyambung belajar di University Yarmouk, Jordan (13 September 2011)


Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah lagi yang (mahu) Kau dustakan?

InshaAllah jika ada ruang dan rezeki kami sekeluarga akan Allah himpunkan untuk bersama-sama membina keluarga di bumi hijjaz Makkah. Doakan semua ^__^

Salam sayang dari Bumi Syam, Sakura di bumi Irbid

Baytul 'Ulya|Irbid|Jordan
22 Februari 2014
1418 hrs

Saturday, 15 February 2014

Semester baru, Semester 2 sessi 2014/2015

Bismillah Walhamdulillah.

It has been two weeks since we have started our new semester. Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah, 'ala kulli ni'mah wa rahmah. After all, may this new semester bring joy and happiness to me and to all of you :)
Semester ini Alhamdulillah saya telah berjaya mendaftar enam (6) subjek. Setelah bergedebak-bergedebuk pada minggu-minggu add and drop maka, hasil nya Alhamdulillah memuaskan ehehs.

Seperti yang di jangka, subjek-subjek kali ini harus membanyakkan lokasi nya di Kuliyyah Syariah itself. So tak adalah adegan berkejar-kejaran di sana dan di sini mengejar waktu kelas. Lebih-lebih lagi bila rushing hour, fuh mahu terjatuh di langgar dek arab-arab. Baik di tangga syabab mahupun tangga akhowat. Cuma ada satu kelas kali ini yang saya ambil di Kuliyyah Tarbiyah. Tapi itu pun tidak perlu terlalu bergegas kerana kelas sebelum nya selalu habis awal, dan selesai kelas di Kuliyyah Tarbiyah, saya mempunyai senggang waktu selama sejam untuk berehat.

Seperti yang anda sedia maklum (eh, ke tak maklum lagi?) hari kuliyah di University Yarmouk (bolehlah dikatakan) dibahagikan kepada dua bahagian. Untuk rangkaian kelas pada hari Ahad-Selasa-Khamis, kelas berlangsung selama satu jam. Dan untuk rangkaian kelas pada hari Isnin-Rabu, kelas dijalankan untuk tempoh satu jam setengah untuk setiap kelas. Jadi, seperti nya sistem di UIAM (saya sebutkan UIAM hanya kerana saya punyai pengalaman di U ini, tidak di U lain) mahasiswa/i dibenarkan untuk memilih group/section (di sini ia diterjemah sebagai syu'bah) mana untuk disertai, Doktor mana yang ingin kita ikuti, dan waktu mana dan hari apa yang kita mahukan kelas kita dijadualkan. Ya, sistem nya hampir 100 % sama. Kita lakukan Plan A, Plan B, dan Plan C (dan mungkin hingga ke Plan Z sekalipun!) untuk mendapatkan jadual kelas yang terbaik untuk kita lalui pada semester tersebut, dan compete&shoot for the subject. Saya masih ingat ketika di UIAM saya pernah membuat jadual lebih kurangnya begini (sebenarnya bukan lebih kurang, tapi memang itu pun jadual nya :P) kelas hanya pada hari Selasa-Rabu-Khamis, dan kosong pada Isnin-Jumaat. MashaAllah betapa sibuk nya pada tiga hari tersebut, dan petang Khamis sahaja saya sudah berada di Meru Klang, muncul semula di Mahallah Halimah pada pagi-pagi Selasa. Hehehs.

Saya juga masih teringat, ketika di Matrikulasi UIAM, jam kredit terbanyak yang pernah saya ambil sepanjang 4 semester di sana adalah 27 jam! Bayangkan betapa sibuk nya saya. (Konon nya lah, budak Engin ada je yang mencecah 44 cr. hr for one sem!) Dan pernah paling sedikit untuk satu semester itu ialah 13 / 15 jam kredit saya pun sudah lupa. Namun nak kata betapa sikit nya jam kredit itu sehingga membolehkan saya bekerja sambilan di Aisyah Shop di bawah Mahallah Aisyah! Subhanallah. Pengalaman. Saya dibayar RM2.50 untuk satu jam, dan untuk 4 jam waktu bekerja, saya boleh mendapat RM10. Bayangkan sekiranya saya mengambil jam kerja pada waktu siang dua jam, dan malam dua jam, setiap lima hari itu, pendapatan saya mencecah RM50. Hehehe. Kecil kan nilai nya sekarang? Tetapi pada 2004-2006, nilai RM50 itu masih sangat bernilai lebih-lebih lagi buat saya, walaupun dengan adanya biasiswa untuk pelajar Matrikulasi itu sendiri. After all, semua itu adalah pengalaman yang cukup indah buat saya. Hafal harga barang, susun barang, kira duit, congak duit, dan sebagainya. Mungkin akan saya entri kan pada entri akan datang pada entri yang khusus.

Maka telah melalut lah saya ke cerita-ceriti zaman dahulu kala. Baik kita kembali ke tajuk yang asal. Untuk semester ini, pada rangkaian tiga hari tersebut saya mulakan dengan matapelajaran Sirah Nabawiyyah oleh Dr. Khalid Syurman. Nizom Hukum oleh Dr. Mahmud Kholidi. Madkhol ila ad-Da'wah oleh Dr. Ala' al-'Umari. Lughah Arabiyyah Istidraki oleh Dr. Fakhri. Dan terakhir ialah Qowaid Lughawi (2) oleh Dr. Usamah Adnan al-Ghunmiyyin. Kelas bermula pada jam 9 pagi, dan berakhir pada jam 3 petang. Di antara semua lima kelas ini, waktu rehat saya ialah pada jam 1-2 petang. Alhamdulillah.

Dan untuk rangkaian dua hari kelas (Isnin dan Rabu) kelas saya hanya berbaki satu kelas iaitu Fiqh Muamalat 1 oleh Dr. Samirah al-'Umari pada jam 12.30-2 petang. Alhamdulillah.

Sepanjang dua minggu sessi pembelajaran, hampir separuh buku juga yang telah dipelajari. Pada hari awal kelas lagi, jadual untuk imtihan awwal dan tsani (1st exam & 2nd exam) telah sedia terpampang di lawhah kuliyyah (board di fakulti) InshaAllah untuk ke enam-enam matapelajaran ini, saya akan mula ber-imtihan pada 11 March-23 March untuk first exam & 8 April-20 April untuk second exam. Pohon semua sahabat pembaca mendoakan kecemerlangan kami di sini. Dan semoga ilmu yang dipelajari diberkati dan mampu memberikan manfaat buat semua inshaAllah.

Sekian dahulu laporan untuk kali ini, kita jumpa lagi pada masa akan datang. Untuk buah tangan kali ini. Jom jamu mata. Saya perkenalkan, Fakulti Syariah, University Yarmouk, Jordan. \\((^__^))//


 
Da'iroh Qobul Tasjil.
Pejabat ni selalu nya tempat urusan mahasiswa/i bayar rusum jami'ah (yuran university), ambil kasyfu 'alamah (transkrip exam), isbat tholib (lebih kurang macam pengesahan pelajar macam tu lah), tasjil madah manually (daftar subjek secara manual)

 
 Bendera rasmi negara Jordan. Negara kelahiran anak kedua kami, 'Ulya :)


 Babul Roisi
Pintu utama University Yarmouk.

 Math'am Jami'ah.
Terletaknya di antara Kuliyyah Syariah dan Kuliyyah Tarbiyah. Juga Kuliyyah Adab.

 Kulliyyah Syariah, University Yarmouk, Irbid, Jordan.
Tangga ini sebenarnya ialah tangga untuk mahasiswa. Tetapi saya menggunakan tangga ini semenjak di Tahun Satu lagi, ketika itu pergi kelas bersama suami. Saya suka melalui jalan ini kerana dengan menaiki 'jisir' (jambatan) tersebut, saya sudah save energy untuk satu level.

Untuk tangga mahasiswi, ia di bahagian belakang kepada tangga yang sedang anda nampak ini. Dan untuk sampai ke level lima, ia sudah menghabiskan daya saya yang sebelum itu telah terlebih dahulu berhempas-pulas melayani karenah 'Ulya yang bangun tidur adakalanya menangis, minta di dukung untuk ke hadhonah, kemudian bergerak pula ke kuliyah ini, memang mencabar iman dan mengerah keringat.

Sila jangan salah faham dengan saya :)

 
Kulliyyah Syari'ah


Sekian. Salam sayang dari Bumi Syam :')

Baytul 'Ulya|Irbid|Jordan
15 Februari 2014
1828hrs

Thursday, 30 January 2014

Ruz Madghout di Baytul 'Ulya!

Bismillah Walhamdulillah.

Semoga teman pembaca semua sentiasa di beri kesihatan agar dapat digunakan sebaiknya untuk kita bertaqarrub kepada Nya. Kali ini saya ingin berkongsikan resipi Ruz Madhgout. Saya tidak pasti makanan ini berasal dari mana, tetapi saya mengambil resipi nya dari Puan Najwa Abdul Rahman. Beliau dilahirkan di Makkah dan membesar di sana. Boleh ke blog suaminya untuk mengetahui kisah keluarga mereka.

Saya tidak pernah merasai bagaimana rasa Ruz Madghout ini. Jadi berkebetulan ketika suami menangguhkan semester pengajian nya di UQU dan datang ke Jordan, maka saya berkesempatan untuk mencuba resipi ini supaya boleh ada kayu pengukur untuk melihat samada resipi ini kena pada rasa nya atau tidak. Alhamdulillah percubaan pertama berjaya. Kata suami lagi, madghout bermaksud tekanan. Jika di kedai makan di Makkah, ruz madghout ini di masak menggunakan pressure cooker. Jadi adakah nasi ini sebenarnya ialah nasi tekanan? Hehehe ini hanya telahan saya sahaja, yang baru bertatih mempelajari Bahasa Arab :)

Kawan-kawan boleh klik link Puan Najwa seperti di atas, dan untuk lebih mudah ada video yang beliau sertakan sekali.

Jom, kita lihat gambar dan resipi yang telah saya tuliskan.

Ruz Madghout. (Nasi tekanan? Nasi tertekan? :DD)


Bahan-bahan :

1 biji tomato (di hiris sederhana besar)
1/2 biji bawang besar (di hiris sederhana besar)
1/2 bahagian ayam (nusf dujjaj)
4 sudu besar minyak masak / minyak sapi
1 helai waraqah ghar / bay leaves (seperti di dalam gambar)
1 helai laymun nasyif / limau kering
5 biji buah pelaga
4 tangkai cengkih
1 batang kulit kayu manis
sedikit serbuk bawang putih (+- 1tsp)
2 sudu besar pati tomato / tomato paste
* 1 tsp lada hitam
* 1 tsp kammun / jintan putih
3 cawan beras (sebaiknya Basmathi tapi saya guna beras biasa sahaja)

Cara-cara :

1. Blend kan bahan yang bertanda *

2. Masukkan kesemua bahan di atas di dalam ghidir (Bahasa Arab yang bermaksud periuk) kecuali beras kemudian gaulkan rata.

3. Tutup periuk dengan aluminium foil, dan masak di atas api sederhana selama lebih kurang 10 minit mengikut keadaan ayam. Macam kami masak pada musim winter, ayam lambat lembut jadi untuk pertama kali percubaan saya memerlukan 30 minit supaya ayam benar-benar masak.

4. Setelah masak, ambil beras yang telah dibasuh dan ditoskan air nya, masukkan ke dalam ghidir yang berisi ayam dan rempah ratus tadi. Masak seperti biasa lebih kurang 15-20 minit.


Alhamdulillah selesai. Mudah bukan penyediaan ruz madghout ini? InshaAllah saya akan berkongsikan resipi lain sekiranya ada masa lapang dan jika di izin Allah. Semoga bermanfaat buat semua. Hidangan dari air tangan isteri dan ibu membentuk peribadi ahli keluarga, yang seterusnya melahirkan generasi yang berakhlak mulia untuk keluar dan membentuk masyarakat yang baik.

(Untuk step-by-step inshaAllah jika ada kelapangan di lain masa saya cuba snap gambar kerana kali ini terlupa untuk mengambil gambar dari mula. Kheyr inshaAllah mudah sahaja resipi ini untuk di cuba)

Happy cooking guys! \\(^___^)//

Baytul 'Ulya|Irbid|Jordan
30 January 2014
2145hrs