Sebulan, selang tempoh setiap karangan di dalam catatan blog kali ini. Iya saya sibuk. Saya benar-benar sibuk menguruskan dua orang anak yang sedang aktif bersendirian. Saya capek mengurusi diri sendiri yang kini sedang memasuki trimester yang kedua Alhamdulillah. Di sebalik ujian yang datang bertimpa-timpa melanda Malaysia, khusunya dengan Tragedi Banjir Pantai Timur seminggu dua ini, harus saya panjatkan syukur kepada Yang Maha Esa di atas segala nikmat dan kurnia Nyakerana terselamat dari musibah dan ujian seperti itu. Benar hanya mereka yang mampu layak diuji Tuhan dengan pelbagai caranya yang tersendiri.
Segala amanah duit zakat Alhamdulillah dapat diselesaikan satu persatu. Gembira hati tidak terkata, sekurang-kurang nya dapat mengurangkan sedikit beban kewangan kepada mereka yang memerlukan. Kami sendiri, faham benar betapa sukarnya mencari dana kewangan di saat suami isteri sama-sama sedang melanjutkan pelajaran, punyai anak, dan tidak mengharapkan biaya dari orang tua masing-masing.
Sekurangnya, orang lain yang mahu berjariah sama, kami tunjukkan jalannya. Tsumma Alhamdulillah.
Dan demi itu. Satu persatu kenikmatan dan kenikmatan di perolehi. Sehingga ke hari ini saya tidak tahu mahu menggelarkan apakah untuk diri sendiri ini? Jiwa kental? Hati besi? Wanita terlebih upaya? Perempuan berani? Akhowat perkasa? Semua bukan. Saya hanya seorang ummi yang biasa-biasa. Seorang isteri yang biasa-biasa. Yang selalu menangis selesai memarahi anak-anak. Yang selalu mengalir air mata merindukan suami. Yang menahan sebak apabila mendengar muzik-muzik instrumental, mengingatkan mereka-mereka yang tersayang, yang berjauhan dari saya.
Saya hanyalah seorang muslimah yang rapuh jiwa.
Yang hanya, sentiasa mengharap ada teman di sisi buat pendengar segala cerita.
Kadang ada masa mahu saya peluk adik-adik yang setia menemani saya. Dari hujung Hijazi hingga ke hujung Syimali. Yang dari kelompok jemaah yang pelbagai, tanpa mengira siapa saya, sudi membantu tika saya whatsapp mohon bantuan. Ada masa saya sihat, nasi lemak setengah jam boleh siap. Ada masa saya benar-benar letih, letih badan dan letih otak, air kosong pun belum tentu dapat saya berikan buat sarapan mereka sebelum ke kelas.
Allahu. Saksikan lah mereka-mereka ini yang saban waktu menemani saya. Kiralah ikhlas mereka. Kiralah amal mereka. Kiralah dan gandakan lah penimbang amal mereka tika di sana nanti Ya Allah.
Hari ini, setelah bertahun lamanya, di kelas Fiqh Ibadat 2 sementara menanti kehadiran Dr. Sofiyyah Syaro'. Sempat saya membelek WhatsApp. Lain kali ini. Abang hanya menghantar sesuatu gambar berupa surat. Saya mula berdebar. Klik dan besarkan. Isy'ar Qobul Umm Al-Qura!!!!!! Jerit saya di dalam hati. Saya cuba baca sehingga habis. Nyata, hp samsung kecil saya tidak mampu memberi penjelasan sepenuhnya terhadap surat tadi. Tetapi dapat saya menjangkakan ia adalah surat tawaran dari University Umm al-Qura, Makkah. Yang saya nanti, sejak 4-5 tahun dulu. Yang saya impi, sejak 6-7 tahun dulu. Yang kerananya, saya mencari mahram untuk memohon memasuki University ini.
Subhanallah!
Seingat saya, pengambilan terakhir mahasiswi adalah 5 tahun dahulu, untuk kenalan karib saya, Hamizah. Yang kini merupakan satu-satunya mahasiswi Malaysia di Ummul Qura. Ya Robb. Adakah aku mampu? Hidup dikeliling mereka yang bukan dikalangan bangsaku. Adakah aku mampu, seorang diri sekali lagi, demi menggali permata hikmah di negeri kelahiran kekasihMu?
Satu-persatu 'kesusahan' dan kepayahan bertamu. Tipulah tidak gembira dengan tawaran ini. Sedang ini yang di impi-impi sejak sekian lama. Akan tetapi, menerimanya di kala saya hanya berbaki 3 semester sahaja lagi untuk menamatkan Ijazah Sarjana Muda saya di University Yarmouk, Jordan adalah bukan sesuatu yang mudah untuk saya pertimbangkan dan melulu membuat keputusan.
Ibarat di telan mati mak, diluah mati ayah.
Suami mana yang mahu selamanya berjauhan dengan isteri? Namun ibu bapa mana yang mahu melihat anak tunggal nya berhenti belajar di pertengahan jalan? Pertimbangan-pertimbangan ini harus dilakukan sebaiknya. Agar tidak menjadi seperti bidalan, yang di kejar tak dapat malah yang dikendong berciciran. Katalah apa sahaja. Kali ini saya baru tersedar dan saya selalu sedar, saya tamakkan kedua-duanya. Memilih yang satu dan meninggalkan satu yang lain bagi saya bukanlah satu langkah yang bijak. Namun memilih kedua-duanya dalam suatu masa juga, adalah sesuatu yang agak mustahil.
Menerima tawaran Umm al-Qura bermaksud, saya (dan kami ) perlu secara teknikal dan luar teknikal nya bersedia untuk :
1) Bersedia dengan kelengkapan baru, rumah sewa baru (sekarang hanya menyewa bilik kecil di pinggir UQU Banat di Az-Zaher) yang pastinya menelan belanja yang banyak!
2) Bersedia mentally, physically dengan jadual baru saya yang akan mula berkuliyah dari jam8 pagi ke 2 petang. Dalam masa yang sama, suami yang belajar di kampus Umm Al-Qura Abidiyah, perlu bersedia menghadapi keletihan isteri yang sedang mengandung bersama hiruk-pikuk dan pekikan anak-anak yang sedang membesar aktif.
3) Anak-anak yang perlu di atur ke hadhonah/raudhah yang baharu. Di mana harga yang dapat saya simpulkan adalah 2x ganda dari harga di Jordan.(Di Jordan kini membayar JD60 untuk 2 org anak = RM 300) (Dan di Makkah jika tidak silap, seorang RM350)
4) Sewa rumah di Jordan yang kekal dan masih tetap perlu di bayar, kerana aqad yang belum habis. Sebulan JD130 (RM 640) dan juga, InshaAllah saya masih perlu pulang ke Jordan untuk menghabiskan baki semester saya sebelum konvokesyen.
ISTIMEWANYA :
1) Impian saya kini menjadi kenyataan! Iya, impian enam (6) tahun dahulu. Impian sebeum bernikah lagi. Impian ketika di MCIIUM lagi. Impian dan cabaran-cabaran yang telah dilalui semenjak di Darul Quran lagi. Dan kerana terlalu obseskan untuk belajar di Umm Al-Qura ini, saya telah dipertemukan dengan suami soleh pilihan Allah yang sudi membantu menjadi suami dan mahram bagi melayakkan saya memohon belajar di UQ ini.
2) Saya menerima tawaran ini, di kala usia 28 tahun. Dua tahun selepas suami menerima tawaran di UQ. Selepas mempunyai dua orang anak, dan bakal masuk tiga dengan izin Allah. Dan sungguh, selepas segala-gala cabaran yang dilalui, Allah lebih mengetahui. Jika sebelum ini undang-undang pernah menetapkan had umur untuk di terima belajar adalah pada usia 25 tahun. Pernah juga, 25 tahun mengikut kalendar Hijri. Dan sungguh? Kuasa Allah mengatasi segalanya. Saya menerima surat tawaran ini di usia 29 tahun mengikut tahun Hijri. Dan 28 tahun mengikut kalendar Masihi. Yakin dengan kuasa Allah yang menentukan segalanya.
3) Sekaligus menetap di Makkah, bersama suami tercinta, dan anak-anak yang dikasihi. Apakah lagi yang dimahukan melebihi perkara ini? Dapat selalu menjenguk Baitullah. Menghuni di negeri kelahiran Rasulullah adalah benar-benar suatu anugerah. Maka apa yang perlu digelisah?
4) Dengan izin Allah, dapat saya kuasai Bahasa Syurga ini dengan lebih baik. Antara faktor utamanya adalah kerana hanya saya yang berbangsa Melayu, dari Negara Malaysia. Hamizah, sudah di Tahun ke-3, sudah pastinya tidak sekelas dengan saya. Suhaila, juga jika menerima tawaran ini, pasti terus melangkau ke kelas yg lebih tinggi, memandangkan beliau sudah beberapa semester menjadi pelaar mustami'ah di UQU Banat.
5) Suasana belajar yang selalu saya inginkan. Semua perempuan. Menjangok dikalangan orang-orang perempuan, Tanpa perlu merisaukan bercantik-cantik di hadapan orang yang bukan sepatutnya.
Dan pastinya banyak keistimewaan lain as a student yang tidak dapat saya sebutkan di sini...
Doakan semoga saya dapat membuat pertimbangan sebaiknya selepas tempoh beristikharah dan beristisyarah.
Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah. Tahun ini, merupakan tahun yang bahagia seperti sebelumnya, walaupun penuh dengan ujian dan dugaan. 'Bonus' akhir tahun, hadiah dari Tuhan ini adalah sangat besar nilainya. Dapat menunaikan haji bersama suami, berwukuf pada hari Jumaat di Arafah. Menyelesaikan urusan iqomah anak-beranak pada pertengahan Julai ke Ogos. Dan kemudiannya dianugerahi dengan berita gembira 'Ulya bakal mendapat adik pada pertengahan tahun hadapan dengan izin Allah. Dan penutup, surat tawaran ke Umm Al-Qura University, Az-Zaher, Makkah al-Mukarramah.
"Dan maka nikmat TuhanMu yang manakah mahu engkau dustakan?"
Salam sayang dari bumi salji.
Rokhaizat binti Rahmat umm3umar
Bayt Irsal | Irbid, Jordan
31 Disember 2014
1405 hrs